Ahad, 3 Julai 2011

Tazkirah #65 Berani Tau Buat, Takut Bertaubat


Saki : Baki, aku ni dah jauh menyimpang dari Agama Islam. Maksud aku banyak yang disuruh aku tak buat. Hat dilarang banyak pula yang dibuat. Aku buat semua tu walaupun aku sekali-sekala sedar yang aku beragama Islam.

Baki : Jadi kau sekarang benar-benar sedarlah salah silap kau?

Saki : Ya Ki. Aku sudah sedar dari lena aku yang panjang. Cuma aku takut. Aku takut nak berhadapan dengan ALLAH nanti. Aku dah jauh Ki, jauh sangat. Banyak kisah yang aku dengar pasal orang yang hidupnya sarat dengan dosa dan bagaimana mati yang mereka lalui. Ada yang bertahun lamanya menanggung azab, ada yang langsung tak diterima bumi dan macam-macam lagi. Memikirkan semua ini, aku tambah takut Ki. Aku takut! Banyak dosa aku Ki. Banyak sungguh!

Menitis air mata Saki mengenangkan dosa-dosanya yang lampau. Sesak Baki melihat sedu-sedan Saki. Goncangan badan Saki makin kuat. Satu persatu bayangan kisah hidupnya yang hitam hadir silih berganti diselang-seli balasan siksa sakarat seperti yang dia lihat di kaca televisyen.

Baki : (Tersenyum). Saki sahabatku. Syukurlah kau sedar dari dosa-dosa kau yang lampau. Jangan kau lekas menghukum ALLAH sekeras itu untuk menerima sesalan kau ini. Tetapi, ada syaratnya untuk DIA menerima sesalan kau Saki. Jika tidak cukup syarat-syaratnya, bukan sahaja sesalan kau ini sia-sia, bahkan kau akan lebih jauh sesat dari sekarang.

Saki mengangkat mukanya dari tekupan tangan. Rembesan air mata tetap mengalir tumpah dari tubir mata yang sarat kolamnya. Tampak merah bola mata Saki. Hidung berair turut menghujani sejuta sesal.

Saki : Ya kah Ki? Ceritalah Ki. Aku hendak dengar. Aku hendak segera bertemu ALLAH memohon ampun, tapi aku takut, aku tidak tahu caranya. Kalau semua salah aku pada orang lain, aku sanggup tebalkan muka melutut pada orang itu. Tapi ni bukan orang Ki. Ni Tuhan aku Ki. Banyak yang aku dah langgar. Banyak yang aku ingkar. Apa cara aku kena buat Ki nak raih ampunan DIA Ki? Aku sanggup buat selagi aku belum katup mata Ki. Cepat Ki, aku tak tertanggung rasa takut Ki.

Baki : TAUBAT.

Baiklah, apa itu taubat? Menurut Kamus Dewan Edisi Empat menyatakan taubat sebagai sesal akan dosa (perbuatan jahat dll) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

Para Ulama’ menggariskan panduan untuk bertaubat iaitu kepada tiga cara sekiranya taubat itu hanya bersangkutan dengan ALLAH S.W.T. Ia adalah sebagaimana yang berikut :

1. Berhenti melakukan perbuatan berdosa itu.

2. Menyesal atas perbuatannya.

3. Tetap hati untuk tidak melakukan perbuatan yang berdosa itu selama-lamanya.

Tetap hati yang dimaksudkan adalah berazam untuk tidak melakukan perbuatan berdosa tersebut sampai bila-bila. Ia menunjukkan penyesalan yang bersungguh-sungguh atas dosa-dosa yang lampau. Cukup turutan tiga langkah taubat ini, barulah ia akan diterima ALLAH S.W.T. Namun, andai kata salah satu daripadanya tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak akan diterima. Ia berdasarkan firman ALLAH S.W.T. di dalam dalil yang bermaksud :

“Mohon ampunlah kamu sekalian kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya” (Surah Huud 11 : 3)

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH dengan sebenar-benar taubat” (Surah At-Tahrim 66 : 8)

Ini sekiranya dosa yang dilakukan hanya bersangkutan dengan ALLAH S.W.T. Sekiranya ia melibatkan manusia, cara taubatnya adalah seperti tiga langkah yang di atas dan ditambah satu syarat tambahan iaitu memohon maaf dan melangsaikannya dengan individu yang telah kita berbuat salah tersebut. Jika berkaitan dengan harta, maka perlu dikembalikan, soal makan minum dimohon halal dan diganti sekiranya diminta manakala soal sumpah atau telahan negatif perlu dipohon maaf orang tersebut.

Dan bagi yang mengalami kisah hidup seperti Saki di dalam kisah yang saya nyatakan di atas, janganlah takut atau segan memohon keampunan ALLAH S.W.T. Tahukah kita, ALLAH sangat gembira untuk menerima taubat hamba-Nya yang memohon keampunan-Nya? Dan tahukah kita perumpaan kegembiraan ALLAH S.W.T. ini lebih hebat dari girangnya hati kita yang kehilangan sesuatu yang kita sayang dan kemudian kita menemukan kembali barang yang kita hilang itu sedangkan kita sudah putus asa mencarinya dek kerana hilangnya barang tersebut di kawasan yang lazimnya tipis harapan memperolehi barang yang hilang itu kembali? Buktinya adalah berdasarkan maksud hadis di bawah ini :

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Al-Anshary pembantu Rasulullah S.A.W. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hamba-Nya, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang sahara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Di dalam riwayat Muslim dikatakan : Sungguh ALLAH lebih gembira untuk menerima taubat hamba-Nya dikala hamba itu bertaubat kepada-Nya melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderainya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menemukannya kembali; ia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk menemukan kembali haiwan yang dikenderainya itu, kemudian ketika ia bangkit tiba-tiba dia telah menemukan kembali haiwan yang dikenderainya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya kemudian ia segera memegang tali kekangnya seraya berkata kerana sangat gembiranya: ‘Wahai ALLAH, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu.” Ia keliru mengucapkan kalimat itu kerana sangat gembira.

Walaubagaimanapun, untuk melakukan taubat, ia mempunyai tempohnya. Iaitu selagi belum kiamat dan selaginya nyawa belum sampai ke ghargarah (kerongkong). Ia berdasarkan maksud dua buah hadis yang berikut :

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat (sebelum kiamat~sebelum datang ajal) maka ALLAH menerima taubatnya.” (Riwayat Muslim)

Dari Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin ‘Umar bin Khaththab r.a. dari Nabi S.A.W., Baginda bersabda : “Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di tenggorokan (sebelum ia sakarat~mabuk menghadapi mati).” (Riwayat At-Turmudzy)

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan bertaubat dan jangan takut atau malu untuk BERTAUBAT, bukan BERTAU BUAT! Renung-renungkan dan selamat bertaubat :-)

Tiada ulasan:

 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template