Rabu, 15 Jun 2011

Tazkirah #61 Malu

Adakah anda memiliki sifat keMALU-MALUan (jangan fikir yang bukan2). Malu atau nama yang lain segan(segan di Perlis = Malas), aib, silu, bera, canggung, janggal, segok, meleng, kanyor, wirang adalah penting dalam diri setiap insan. Tanpa malu, orang tidak akan segan2 mendedahkan apa sahaja samada yang peribadi atau tidak, singkap yang tersurat atau tersirat, dedah zahir atau batin, tak kiralah tentang diri sendiri atau orang lain.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah : Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka (Riwayat Bukhori)

Jelaskan? Malu itu perisai diri yang penting dari menggelincirkan kita ke jalan yang tidak diredhai. Sifat malu ini lahir dari pemikiran rasional yang asasnya lahir dari fitrah manusia normal yang sentiasa inginkan pandangan positif orang lain padanya seterusnya pertimbangan akal dalam mengawal nafsu. Sekiranya proses ini berlangsung dengan baik dan pertimbangan itu dimenangi akal, maka malu itu akan tampak pada diri seseorang individu tersebut. Cuba kita lihat orang yang ALLAH S.W.T. tarik nikmat akal, senang cerita 'orang gila'. Orang gila tidak akan berasa malu untuk mendedahkan apa sahaja kerana akalnya tidak lagi berfungsi mengawal dirinya berkelakuan selayak insan normal sekaligus tidak menampakkan ciri2 malu dalam dirinya dan orang lain tidak akan berasa janggal dengan keterampilan orang gila kerana sudah masak benar dengan situasi yang dihadapinya.

Baik, mari sama-sama kita beberapa contoh malu yang saya sediakan di bawah, dan kita banding bezakan dengan keberadaan kita sekarang :

Malu Hendak Berbuat Jahat
Memang kita sedia maklum, Allah S.W.T. telah programkan dalam diri kita yang normal ini untuk malu melakukan sebarang kejahatan yang nampak di mata khalayak umum bahkan ketika bersendirian. Kita semak balik diri kita, jika pernah kita lakukan sesuatu yang jahat, seperti mendedahkan aib orang lain, maka sifat malu itu sudah luntur dari pakaian kita. Sekiranya ini berlaku, lekas2lah istighfar dan perbetulkan kembali kesalahan yang telah kita lakukan. Itu sebagai contoh, beribu lagi contoh lain bagi kejahatan yang pernah kita lakukan.

Malu Berbuat Sesuatu yang Tidak Senonoh
Walaupun kita tidak alim, namun kita yang normal masih rasa segan untuk berkelakuan tidak senonoh. Sebagai contoh, kita saruk kain, jalan tengah ramai, tiba2 angin baik punya mai sergah kain kita, nah, tersingkap segala yang tertutup asalnya. Kita pasti akan termonyeh-monyeh malu, merah muka, lagi teruk, maki hamun pula angin yang datang. Itu tandanya masih ada sifat malu dalam diri kita. Itu baru sikit, kalau bercomolot (pinjam ayat orang muda la ni) tengah ramai, simpangggggg. Tetapi, ada juga antara kita rela pakai baju adik, keluar rumah ukur jalan sambil berkepit dengan marka entah dari mana, tanpa segan silu. Betul atau tidak? Tepuk dada tanya mata, sebab mata yang tengok, tepuk kaki kalau tu kaki kita, tepuk tangan kalau tu tangan kita yang berkepit. Tandanya, luntur lagilah malu dari diri kita.

Malu Berbuat Baik
Ini merupakan malu yang jauh menyimpang dari konsep asal. Sepatutnya malu ini tidak boleh ada dalam diri kita. Nasihat Luqman kepada anak-anaknya telah ALLAH S.W.T. rakamkan di dalam al-Quran sebagaimana berikut :
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya."(Q.S. 31 : 17)

Malu Sampai Sesat
Kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan. Malulah nak pi masjid, tak pernah2 pi tiba2 nak pi. Malu la nak tanya soalan tu kat ustaz, kang dia kata soalan mudah. Malu la itu malu la ini. Bab nak perbetulkan diri atau menyelesaikan kekusutan, kita tidak boleh terus-terusan melayan rasa malu yang menyekang dada kita untuk kusut dengan saratan masalah. Bukakanlah minda kita buangkan rasa malu. Sebagai contoh, "malu la nak tanya pasal niat solat". Sedangkan niat itu utama bagi sesuatu solat dan yang terawal untuk mengerjakan solat. Disebabkan malu untuk bertanya, tidak tahu maksud dan cara niat, langsung solat itu diabai. Ini suatu contoh mudah, banyak lagi contoh lain yang kita sendiri tahu tentang malu untuk bertanya. Lainlah kalau niat bertanya itu untuk menjatuhkan seseorang sedangkan kita sudah tahu jawapannya, seharusnya ia dielakkan.

Renung2kan, Selamat Memakai Sifat Malu Sebaiknya, kerana MALU ITU PAKAIAN IMAN. Compang-camping baju, ternampaklah jasad, kuranglah perlindungan bagi iman :)
وعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً, وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِن الْإِيمَانِ
Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. Daripada Nabi S.A.W. bersabda, : Iman terdiri
daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu
dari bahagian-bahagian iman.

Isnin, 13 Jun 2011

Tazkirah #60 Malu Menipu

Muslihat, helah, tipu muslihat, tipu daya, tipu helah, tipu belit, perdaya, bohong, temberang, dusta, akal, auta, olok-olok, lebun, tokoh, kecoh, kecong, kecek, kelong, kacung, kicau, kicu, tangguk, cong, kelentong, borak, bongak, kidab, lolok, lontak, dengkul, kizib, merakah . Fuh! Banyaknya. Apapun, sebutlah yang mana satu, maksudnya tetap sama iaitu perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang (Kamus Dewan Edisi 4).

Ada suatu kisah yang Nabi Ibrahim a.s. malu kerana pernah menipu. Ada tiga situasi. Baginda bersalasilah dari susur galur Nabi Nuh a.s. melalui ayahnya Azar bin Sam bin Nuh tidak pernah menipu melainkan dalam tiga perkara.

Pertama : Menjadi kebiasaan rakyat babilion di bawah pemerintahan Raja Namrud untuk keluar pada hari tertentu, keluar kota dengan membawa bekalan yang banyak dan meraikannya di suatu padang terbuka bersama-sama bagi menghormati hari-hari suci tersebut. Ketika itu, Nabi Ibrahim a.s. menyatakan untuk menguzurkan diri keluar atas alasan bahawa dia sakit. "Maka Bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?"(Q.S. 37 : 89). Maka terlepaslah Nabi Ibrahim a.s. dari turut serta merayakan sesuatu yang mungkar.

Kedua : Susulan situasi di atas, kota tersebut lengang, sunyi sepi kerana masing-masing telah keluar dari kota. Kesempatan ini diambil oleh Nabi Ibrahim a.s. yang merencanakan sesuatu untuk menafikan sembahan ayahnya dan orang lain yang salah iaitu menyembah sesuatu yang tidak dapat memberikan sebarang manfaat atau kesan tetapi dijadikan sembahan sedangkan berhala-berhala itu terhasil dari tangan-tangan mereka sendiri. "Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda Yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?" (Q.S. 19 : 42). Maka Nabi Ibrahim a.s. telah menghancurkan semua berhala-berhala yang terdapat di situ melainkan satu berhala yang paling besar, paling utuh dan paling agam binaannya dengan disangkutkan kapak yang digunakan untuk menghancurkan berhala-berhala yang lain. Sekembalinya penduduk babilion, semua terkejut dan tertanya-tanya angkara siapa yang berani merubah sembahan-sembahan mereka menjadi hancur dari bentuk asal. Dan ada seorang yang menyampaikan si pelakunya adalah Nabi Ibrahim a.s., maka dihadapkan Baginda di khalayak ramai. Setelah diajukan samada Nabi Ibrahim a.s. yang bertanggungjawab, saat inilah yang diambil Baginda untuk mematahkan soalan yang diajukan. Baginda menyuruh mereka bertanyakan berhala yang paling besar kerana padanya kapak yang tersangkut dan keadaannya yang sedikit pun tiada cacat cela. Kusut kepala yang hadir untuk membenarkan sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka menjawab yang mana mungkin binaan itu hidup dan bisa melakukan yang sedemikian. Peluang ini digunakan Baginda untuk sekali lagi membenam pemikiran kolot kaum musyrik itu dengan menyatakan mengapa masih disembah sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudharat. "63. ia menjawab: "(Tidak) bahkan Yang melakukannya ialah (berhala) Yang besar di antara mereka ini! maka Bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". 64. maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang Yang zalim". 65. kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya Engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui Bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa Engkau menyuruh Kami bertanya kepadanya)?" 66. Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, Patutkah kamu menyembah Yang lain dari Allah sesuatu Yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? 67. "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa Yang kamu sembah selain Allah! maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?""(Q.S. 21 : 63-67)

Ketiga : Setelah melihat keadaan menjadi kurang aman untuk Baginda meneruskan dakwah, Nabi Ibrahim a.s. berpindah ke negeri Syam bersama isterinya Sarah. Namun negeri itu mempunyai seorang raja yang zalim yang akan meperisterikan isteri orang yang cantik. Setelah terpandang isteri Nabi Ibrahim a.s., si raja bertanyakan samada susuk tubuh itu isterinya atau tidak. Sekiranya Nabi Ibrahim a.s. menjawab 'ya', maka akan diambillah isteri Baginda. Maka, Baginda menjawab bahawa susuk tubuh itu adalah saudaranya. Maka terlepaslah Baginda dan isterinya daripada kekejaman si raja.

Namun ditegaskan ketiga-tiga situasi bohong di atas membuatkan Nabi Ibrahim a.s. malu denan dirinya. Sedangkan ketiga-tiganya masing-masing bertujuan menjaga akidah, menyebarkan dakwah dan menyelamatkan maruah. Cerminkan diri kita. Dalam sehari sahaja sudah berapa kali kita berbohong kepada yang lain? Renung-renungkan :)

Jumaat, 10 Jun 2011

Timbang Blog

Tengah jalan2 kat alam maya ni, saya jumpa laman sesawang ni : http://pagespeed.googlelabs.com/#


Tempak kira berat blog kita. Saya dah cuba, dan ini keputusannya :


Jom pakat2 timbang. Semoga kita mudahkan orang lain buka laman blog kita, maka mudah untuk kita sampaikan maklumat2 dan informasi2 :). Edit ka buang ka apa2 widget hat tak patut. Macam lagu2 tu, tak bubuh pun tak pa sebab memberatkan untuk pelawat kita buka page kita. Ni cuma cadangan. Nak buat blog, biar orang senang masuk :)

Khamis, 9 Jun 2011

Tazkirah #59 Bunyi Kaki Kuda masa berjogging.


Lagu mana bunyi tapak kaki kuda masa berjogging? Ke de kut. Ke de kut. Ulang banyak kali, laju2. Ha, ni nak cerita pasal orang yang ada sifat macam bunyi tapak kaki kuda ni. Dah ulang sebut laju2? Jadi kedekut kan? Baik, perhatikan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah ni :

Suatu hari Abdullah bin Annas ra. berkata bahawa Nabi S.A.W. bersanda memberitahu Ibnu Abbas dan sahabat yang lain yang berada di sisinya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kamu semua mendengar sesuatu tentang manusia yang paling jahat di sisi ALLAH?
Ibnu Abbas dan sahabat yang lain berkata, "Beritahulah kami wahai Rasulullah, kami semua ingin mengetahuiya siapakah mereka." Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda : "Mereka ialah seseorang yang meminta dengan nama ALLAH tetapi tiada siapa pun yang memberinya, sedangkan mereka mampu berbuat demikian."

Semua kita pernah didatangi peminta sedekah. Tak kira samada yang palsu mahupun yang benar2 memerlukan. Ada antara mereka yang bersungguh2 meminta sehingga terbit kata seumpama : "Encik, bantu saya encik. Demi ALLAH saya perlu duit nak ubat anak saya." Ni bagi yang miskin. Bagi golongan lain, orang kaya, orang sederhana, suma pernah rasa susah dan memerlukan. Apabila diajukan masalah dan pertolongan sampai suatu tahap disandarkan sumpah atas nama ALLAH kerana benar2 memerlukan. Namun, apa tindakan kita? Memberi atau sekadar memerhati? Lebih teruk ditinggalkan si peminta dengan lirikan mata menghina.
Tahukah kita yang berkelakuan negatif ini bakal menyandang suatu pangkat baru sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W. dalam hadis di atas?

Bila seseorang melapik percakapan atau permohonan dengan sumpah atas nama ALLAH ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah. Ia menunjukkan dia benar2 memerlukan. Jadi seharusnya kita bantu apatah lagi kita diberi rezeki yang lebih. Namun diingatkan pula kepada yang menggunakan nama ALLAH untuk mengukuhkan ucapannya, ia tidak boleh digunakan sewenang2nya. Baik, saya bawa kisah si budak lelaki nakal yang mengembala kambing (ramai yang biasa dengar kisah ini). Suatu hari, dia menjerit "Harimau!!!!!Harimau!!!!". Lantas penduduk kampung segera mendapatkannya. Namun tidak ada harimau pun di kawasan budak nakal tersebut. Keesokkan harinya dia melakukan perkara yang sama dan perkara ini berulang2 pada hari seterusnya dan penduduk kampung yang lain sudah mula jelak dengan kelakuan budak nakal tersebut dan tidak mempercayainya lagi. Pada suatu hari, budak nakal tersebut ternampak harimau yang mengintainya dan gembalaannya dari jauh, lalu dia menjerit sebagaimana biasa yang dilakukan untuk mengusik penduduk kampung sebelum ini. Namun seorang pun tidak menolongnya kerana semua menganggap budak tersebut hanya ingin mempermainkan mereka.

Nah, pengajarannya, nama ALLAH bukanlah boleh digunakan sewenang2nya. Dan kita apabila berhadapan dengan orang yang meminta pertolongan dan menggunakan nama ALLAH, janganlah kita anggap dia hanya ingin mempermainkan kerana nama ALLAH bukan boleh digunakan sesuka hati. Senang cerita, hulur ja seringgit dua, niat, ikhlaskan hati derma kerana ALLAH, kalau orang nak tipu ka apa ka, serah saja pada ALLAH S.W.T., Dia Maha Mengetahui :)

Pssssst : Jom pakat2 sedekah :) Elak dari jadi manusia paling jahat. Kalau tak mampu lain cerita.

Selasa, 7 Jun 2011

Tazkirah #58 Mana aci aku saja yang susah


Kenapa aku susah? Nak makan pun payah. Kenapa Tuhan jadikan aku lagu ni? Orang lain boleh senang-lenang nak kedarah apa pun boleh? (Na'uzubillah dari kita bercakap lagu ni).
Bait kata2 di atas mungkin ada yang pernah dengar. Susah. Biasalah. Di dunia ini variasi latar belakang manusia. Kadar bebanan juga berbeza. Jenis ujian juga berbeza. Baik, sentuh bab susah ni, orang mudah menyalahkan takdir, lemah sangat waktu mengenangkan nasib diri. Jadi masa lemah inilah syaitan masuk jarum. Yang bakal membawa kebinasaan kalau mangsanya lemah. Sebenarnya,
semua makhluk yang hidup di atas muka bumi ini, ALLAH S.W.T. telah nyatakankan di dalam al-Quran Surah as-Syams, ayat 7-10 sebagaimana di bawah :


Maksudnya : Dan jiwa serta (Tuhan) yang menyempurnakannya (terciptanya). Maka ALLAH mengilhamkan kepada jiwa itu jalan yang salah dan jalan yang benar (ketakwaannya). Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Q.S. 91:7-10)

Terang-terangan yang ALLAH S.W.T. kurniakan akal yang bakal memandu kita untuk membuat pilihan semasa kita berada di persimpangan. Samada bersangka baik dengan Tuhan atau menyalahkan Rencana-Nya. Ya, segalanya telah termaktub sebelum kejadian alam tentang kita bermula di alam roh hingga terbit menjadi manusia langsung ke tanah bercuti seketika sebelum bangun semula menhadap Sang Pencipta untuk dihitung segala amalan. Namun, apakah erti kita dikurniakan akal? Akal ini berfungsi untuk kita berfikir baik buruk yang menghantui kita dalam apa sahaja hal yang kita tempuh. Hasil yang diperoleh kita pilih samaada berpandukan nafsu atau berbekalkan hidayah yang diberi-Nya, bertitik tolak atas kehendak kita, selari dengan catatan rentetan hayat kita di Luh Mahfuz.
Kita lihat sedikit pandangan Barat dalam Teori Humanistik (bukan saya menyokong barat, sekadar mencuri balik khazanah ilmu yang telah kita cetuskan dahulu), tokoh terkenal dalam teori ini, Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat, manusia mempunyai keperluan dan keperluan asas yang sekiranya dipenuhi aspek tersebut, maka secara langsung ia akan memotivasikan diri manusia itu sehingga mampu mencapai peringkat yang lebih tinggi (nirwana/ kesempurnaan diri).
Kalau kita fikir, jika ALLAH S.W.T. buat semua di kalangan kita kaya, tidak ada yang miskin, maka tidak akan ada kolaborasi antara manusia. Yalah, bila masing2 dah serba cukup. Jadi kita lihat kembali realitinya, antara kita ada yang kaya dan ada yang tidak. Maka, yang miskin akan berkerja mencari rezeki di samping peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh yang kaya, manakala hasil usaha yang miskin akan digunakan oleh yang kaya. SUBHANALLAH, cantik sungguh kitaran yan telah ALLAH S.W.T. rencanakan. Kalau semua kita boleh luangkan masa berfikir sejenak hanya tentang ini, maka yang susah tidak akan terus meratapi nasib yang menimpa dengan hanya usaha menerbitkan titisan air mata sahaja, namun mereka akan berusaha untuk bangun kembali dengan berusaha dengan apa sahaja peluang yang halal untuk memperbaiki diri dan keluarga mereka. Manakala yang kaya tidak akan terus mendabik dada membusungkan perut hayun sini sana lantas yang lain dipandang hina, sebaliknya yang kaya akan berusaha membantu yang miskin dengan memberi peluang kerja dalam apa sahaja ruang yang halal dan bukan mengaut harta kongsi sesama yang kaya kerana masing2 yang kaya sedar kalau yang miskin tidak turun ke bendang, yang miskin tidak menjaja di jalanan, yang kaya akan mati juga dalam kemewahan.

Renung2kan :)

Isnin, 16 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU 2011

KLIK UNTUK TUMBESARAN YANG SIHAT

Ahad, 15 Mei 2011

WARKAH AKASYAH CONTEST : GURUKU PENYUMBANG ILMU


Assalamualaikum. Demi menyahut niat murni CIK AINOL yang nak himpunkan seberapa banyak luahan penghargaan anak murid kepada gurunya, saya nak singkap balik tabir silam semasa saya di bangku sekolah, saat tinggi paras pinggang orang dewasa, Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat namanya. Lokasi Nibong Tebal, Pulau Pinang,. Sekarang dah gah namanya selepas dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Negara Tahun 2005.
Kembali kepada cerita asal, guru yang paling saya ingat (yang lain pun ingat sangat) namanya Cikgu Mat Saad. Kurus sosok tubuh insan guru ini, kecil hampir melidi tetapi jangan dicari murid yang senyum ketika insan guru ini menjengah kelas. Nak main? Lagi la. Silap hari bulan, bukan dapat cop lima jari, lekat kat dinding pun pernah. Cikgu ini menggalas amanah mengajar subjek Matematik untuk murid tahap dua (mungkin sebab murid tahap dua ja yang mampu menghadapi segala macam perasaan semasa dalam kelas guru ini. He2).
Walau bagaimanapun, sedikit aneh, saya sayang cikgu ni. Sama macam kawan-kawan yang lain. Sebab bila di luar sekolah, 100% lain cikgu ni. Baik sangat2. Senyum? Sampai telinga. Cuma dalam kelas ja. Itu pun dengan kelas yang murid bermasalah sahaja. Dalam kelas saya kadang-kadang ja menyinga. Cuma satu prinsip dia, jangan cari masalah, hormat guru dan hormat ilmu.
Pengalaman yang tak boleh nak dilupakan dengan Cikgu Mat Saad ni? Ya, semestinya terpahat bila tangan dah berbirat, pipi dah berbekas. Salah saya juga, sapa suruh nakal. Kerja rumah pula hanya tinggal kerja di rumah, sampai sekolah, kerja tiada. Ha3. Apa pun, terima kasih Cikgu, Terima Kasih tak terhingga. Sekarang saya atas jalan yang dulu cikgu lalui dan jalan itu sedang saya harungi. Kini baru saya faham tingkah cikgu dulu kerana ia menjadi tingkah saya kini :)

Selamat Hari Guru 2011 buat semua :)

Khamis, 12 Mei 2011

Tazkirah #57 Adakah orang atas akan datang semua ber"bin" dan ber"binti"kan Abdullah?


Setiap 17 minit seorang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 2008, melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, ,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!
Dan baru-baru ini saya menghadiri suatu majlis ilmu, penceramahnya menyatakan maklumat terkini dikeluarkan JPN, bayi luar nikah lahir setiap 15 minit. Dan terkini yang saya baca di laman web (maaf tak ingat urlnya), maklumat baru setiap 11 minit.
Biarlah berapa pun angkanya, yang pasti, apa yang direkodkan terus meningkat datanya.
Berkata Saidina Umar al-Khattab yang bermaksud nak lihat kepimpinan akan datang lihatlah pada syabab/ pemuda zaman kini.
Nah, mendengarkan kata-kata ini, kita sepatutnya jadi takut. Kita hidup di zaman pemuda pemudi yang semakin liar. Antara buktinya yang telah saya nyatakan di atas. Apa wajah dunia masa umur kita 10 20 tahun nanti? Dengan lambakan anak luar nikah ini, apa kita akan lihat semua yang di atas ber'bin' dan ber'binti'kan Abdullah? Bukan salah gelaran atau nama Abdullah. Suci benar maksudnya. Tetapi perbuatan yang haram yang mencalit arang pada kalimah Abdullah.
Ya, Islam semakin menuju dagang. Islam kembali dihurung gersang silam. Dan dabiklah dada, kita yang realisasikannya. Renung2kan tazkirah ringkas ini, dan buatlah perubahan sekadar kuasa yang kita ada.

Sumber :
http://ijoks2009.blogspot.com/2010/08/setiap-17-minit-seorang-anak-luar-nikah.html
http://berita-harian-online.com/statistik-anak-luar-nikah-di-malaysia/

Selasa, 10 Mei 2011

BUAT KE-2 KALINYA, DENGAQ SINI ORANG2 PERLIS!


Dia mai dah! Dia mai dah! kali ni koi banyak! Tak sia-sia kita sabaq dengan segala ujian cuaca panas dan bah hari tu ni. Dia mai juga akhirnya. Semua Kuasa ALLAH S.W.T. Mai dah wei. Hat mana duk jauh tu, meh balik keh. Rugi, setaun skali! Mai keh.

Apa hat dah mai ni Ustaz Cecomel? Ha, ni nak habaq bagi, dah seminggu Harum Manis dah jengui kat Perlis ni. Sebelum ada hat hangkut bok pi ke lain, mai la balik, sambil2 jenguk Mak Ayah kita kat kampung ni.

Dah kepada penanam2 dan penjual2, tak lupa juga kat peraih2, tolong jangan kenakan orang yang nak beli harum manis anda. Jangan penaya. Tak mewah pun kalau duit berkepol-kepol. Koi teruk ada la.

Hadis riwayat Hakim bin Hizam ra.: Dari Nabi saw. beliau bersabda: Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mau menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkah dalam jual beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang), akan dihapuskan keberkahan jual beli mereka (Shahih Muslim No. 2825) Diambil dari http://www.pkesinteraktif.com/edukasi/hikmah/694-anjuran-jujur-dan-larangan-menipu-dalam-jual-beli-.html


Psssssst : Jangan penaya kami hat nak beli ni. Hari tu ni tengok ada hat tekan, sekilo RM 12 hinggit!!!!!!! Renung2kan Hadis di atas, Selamat Beramal.

Ahad, 8 Mei 2011

Bingkisan Buatmu Ibuku :)


Lahirku ke dunia disambut dengan gembira. Senyuman yang melepaskan seribu satu macam lelah. Lelah tika bafas di hujung nyawa. Bertarung semahunya. Biar putus nyawa. Agar aku keluar ke dunia. Terima kasih bonda. Tiada terbalas jasamu. Jasa Sang Wira. Lebih hebat dari seribu tentera, yang mengawal dinding negara. Lagi hebat jasamu bonda. Sayu syahdu laungan lembut azan dari mulut ayahanda, menitis air mata bonda, lepas segala lelah. Bukan lelah bertarung nyawa, tapi lelah untuk aku menjengah dunia. Terima Kasih Bonda.

Pssssst : Selamat Hari Bonda. Bukan sehari bukan dua, Tetapi buat selamanya.

Pssssst : Sedang diri ini di perantauan, sejanak terkenang bonda di kejauhan. Menitis air mata. Terima Kasih MakAyah...
 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template