Isnin, 1 Ogos 2011

Tazkirah #67 Menuju Puncak Ramadhan




Tertarik dengan tazkirah adik junior masa berehat sebentar ketika melaksanakan ibadah sunat tarawikh semalam. Suatu kiasan baru yang saya peroleh berkenaan perjalanan kita dalam menuju puncak bulan yang sepatutnya kita cintai ini.


Analaogi yang diutarakannya ialah perjalanan kita menuju puncak Ramadhan ini ada tiga fasa. Dimulai dengan jalan yang landai atau pamah. Ramai mampu bergerak bersama. Ayunan langkah yang bersahaja dan tenang. Semua mampu melakukannya.


Namun setelah masuk ke fasa pertengahan Ramadhan, jalan yang dilalui kian bertambah sudut kecuramannya. Sudah ada yang mengeluh. Letih barangkali dengan jalan yang mula memerlukan kederat yang lebih, sedikit mendaki. Dalam fasa ini sudah ada sebilangan kecil yang luntur semangatnya. Ada pula yang langsung rebah. Letih benar agaknya.


Dan akhirnya tibalah fasa yang terakhir iaitu fasa mendaki curam yang lebih mencabar sudutnya. Waktu ini bukan umur yang jadi ukuran. Malahan ada yang sudah lanjut usia mampu mendaki dan memanjat dengan segala daya yang masih tersisa untuk mencapai puncak Ramadhan. Sebahagian yang muda sudah lembik lutut mengalahkan yang tua. Ada yang lelah ada yang gayat. Maka tersungkur lebih ramai manusia yang berbaki dari fasa pertengahan. Hanya tinggal yang kuat semangatnya untuk meneruskan pendakian. Hanya yang punya iman yang kental, bukan umur menjadi ukuran.


Kesimpulannya, pada fasa pertam,a ramai antara kita yang sedia dan bersemangat untuk melakukan amal ibadah sebaik dan semampu yang mungkin. Maklumlah, awal-awal kata orang. masuk sahaja fasa pertengahan sudah ada yang merasa sedikit letih dan terbeban serta berada di zon selesa. Qana'ah katanya. Qana'ah yang menyimpang maksudnya. Kemudian, berlalu dua fasa ini, masuk ke fasa yang terakhir. Lebih ramai yang goyah menjelang hari lebaran. Ramai yang kabur dengan keduniaan. Ramai yang hilang kelazatan Ramadhan dari pandangan. Lebih dahsyat mendabik dada konon sudah banyak beramal. Na'uzubillahi min zalik.


 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template