Jumaat, 22 Julai 2011

Guru #5 Pelan Murid

Bagi teori peribadi pertama yang saya hasilkan bagi sesi praktikum ini, saya namakan Pelan Kedudukan Murid. Pelan ini adalah rajah gambar dalam bentuk pelan iaitu gambar daripada atas yang menunjukkan kedudukan murid. Pelan ini adalah mudah. Ia terhasil disebabkan oleh pengamatan saya terhadap kelemahan saya untuk mengingat nama-nama murid biarpun dalam tempoh yang lama. Maka terhasillah idea untuk penghasilan teori peribadi ini iaitu untuk membolehkan guru lebih mudah mengingati nama murid dan dalam masa yang sama kedudukan murid. Namun, apakah kelebihan seorang guru mengetahui nama murid?

Terdapat banyak kelebihannya, antaranya ialah dengan menyebut nama murid tanpa perlu memandang ke arah murid, Maka murid akan sentiasa bersedia untuk sebarang kebarangkalian namanya dipanggil guru. Jadi tidak akan ada murid yang tidak menumpukan perhatian kerana apabila diajukan soalan dan ditujukan terus kepada murid-mrid tertentu, mereka sudah bersedia dengan jawapannya.

Selain itu, apabila guru dapat mengingati nama murid itu, ia akan menjadi suatu penghargaan secara tersirat dalam diri murid. Mereka akan berasa senang kerana kewujudan mereka dirasai dan sentiasa diperhati. Maka lebih mudahlah guru untuk mendekati murid sekali gus dapat mengetahui permasalahan yang dihadapi murid lalu mencari dan berusaha sekadar termampu untuk membantu murid menyelesaikan dan meringankan bebanan murid sama ada dalam hal persekolahan mereka mahupun di luar waktu persekolahan mereka.

Jumaat, 8 Julai 2011

Tazkirah #66 Lembutnya air


Terbaca Solusi isu 33, artikel yang diutarakan oleh Ketua Editornya sendiri, Syeikh Pahrol, memetik secangkir kisah perpaduan dalam kalangan kita. Biarpun dengan lantang kita menyuarakan kesatuan antara kita yang unik dengan variasi samada dari sudut anutan agama, warna kulit, amalan budaya dan lain-lain lagi, namun, di sebalik tirai hakikat yang terhijab, masih ada rencana tersirat demi menjaga kedudukan masing-masing. Seolah-olah segala laungan yang bergema atas kalimah perpaduan hanya gerak tari watak-watak wayang kulit.

Bukan hajat saya mengulas lebih lanjut tulisan Syeikh Pahrol, mana mungkin ia berlaku, jauh benar ketinggian ilmu penulisan yang dimilikinya. Namun, saya tertarik dengan kiasan beliau tentang perpaduan antara kita yang dimpamakan sebagai sebuah binaan. Ya, sebuah binaan tercipta dari pelbagai material samada ianya terlihat mahupun tidak seusainya ia dibina. Yang pelbagai rupa. Ada yang keras iaitu batu, ada yang tahan lentur, iaitu besi, ada yang menceriakan dengan waran iaitu cat dan macam-macam lagi bahan binaan yang digunakan. Semua ini bersatu hanya dengan hadirnya elemen lembut iaitu air.

Airlah yang mampu mengauli rempah ratus pasir untuk menghasilkan simen. Lalu ditautkan bata dengan bata menjadi dinding yang melindungi orang yang mendiaminya, ditautkan bata dengan besi untk menguatkan sendi-sendi dan menjadi tiang bangunan agar kekal tega berdiri tanpa rasa takut menyembah bumi. Percaya atau tidak, ia hanya mampu disatukan dengan elemen yang lembut. Namun, jangan dipandang sebelah mata kudrat air yang lembut itu kerana terbukti air itu mampu menyatukan elemen yang keras sifatnya.

Begitulah dalam memupuk kesepaduan antara kita. Kita ini ibarat sebuah bangunan yang ada antaranya keras jiwanya, kuat kepercayaan dan keyakinannya. Ada juga yang tahan lentur bagai besi. Namun untuk membina sebuah bangunan yang kukuh, mesti disertai sifat kelembutan. Itu kemampuan air yang positif. Kemampuan yang negatifnya pula, air mampu membinasakan segala objek dilaluannya. Buktinya jelas kelihatan baru-baru ini dek bencana tsunami di Jepun. Air juga mampu menggoyahkan kekuatan besi dengan mengaratkan struturnya. Setelah besi mulai berkarat, ia akan lebih rapuh untuk dipatahkan. Air juga mampu memadamkan api yang menular membakar bangunan.

Cuba kita bina rumah tanpa setitis air. Jangankan membina bangunan, hendak mengikat bata juga tidak akan terjadi. Begitulah pentingnya peranan air dalam menyepadukan antara kita. Air bisa melembutkan kalangan kita yang keras hatinya lantas menawan jiwa yang sombong dari menerima kebenaran. Terbukti sendiri dalam sirah Rasulullah S.A.W.. Kesantunan Rasulullah S.A.W. sendiri berjaya mengubah pendirian perempuan yahudi yang acapkali melemparkan najis dan segala kotoran saat Baginda melangkah ke masjid. Namun, tindakan Baginda bukanlah membalas kekerasan dengan kekerasan, namun kelembutan pilihan Baginda yang menunjukkan sikap yang bertentangan dari yang ditunjukkan oleh perempuan yahudi tersebut. Dan dengan kelembutan Baginda ini berjaya merubah tanggapan perempuan yahudi tersebut terhadap Rasulullah S.A.W.

Benar Firman ALLAH S.W.T. di dalam al-Quran, Sura An-Nahl ayat 125 yang bermaksud sebagaimana di bawah :
"Serulah (manusia) ke jalan Rabmu dengan hikmah (lemah lembut) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (Q.S. 16 : 125)

Jangan kita menegah manusia dengan cara yang tidak dapat diterimanya, maksud saya dengan cara yang kasar. Cuba kita letakkan diri kita ditegur oleh orang lain dengan cara yang kasar. Kalau benar kita yang bersalah, namun kerana kekasaran yang dilontarkan itu membuatkan kita lebih jauh untuk menerima tegurannya. Begitu jugalah dengan orang lain. Tambahan bagi mereka yang mula mendekati kehidupan beragama. Jika penyampaian kita tidak kena dengan hikmahnya, dibimbangi orang yang asalnya tertarik akan berbolak balik hatinya menerima dakwah kita, lebih teruk lagi dia makin menjauh dari kebenaran. Jika ini berlaku, dabiklah dada kita sebagai pemfitnah agama! (Na'uzubillahi min zalik). Ini berdasarkan firman ALLAH S.W.T. di dalam Surah Ali Imran sebagaimana maksud ayat berikut :
"Maka disebabkan Rahmat daripada ALLAH, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Q.S. 3 : 159).

Kesimpulannya, berlemah lembutlah kita dalam mengajak orang lain untuk sama-sama membentuk kesepaduan antara kita. Semoga dengan kelembutan kita mampu menarik lebih ramai untuk menguatkan negara kita, bahkan agama kita :) Renung-renungkan, Selamat Beramal :)

Ahad, 3 Julai 2011

Tazkirah #65 Berani Tau Buat, Takut Bertaubat


Saki : Baki, aku ni dah jauh menyimpang dari Agama Islam. Maksud aku banyak yang disuruh aku tak buat. Hat dilarang banyak pula yang dibuat. Aku buat semua tu walaupun aku sekali-sekala sedar yang aku beragama Islam.

Baki : Jadi kau sekarang benar-benar sedarlah salah silap kau?

Saki : Ya Ki. Aku sudah sedar dari lena aku yang panjang. Cuma aku takut. Aku takut nak berhadapan dengan ALLAH nanti. Aku dah jauh Ki, jauh sangat. Banyak kisah yang aku dengar pasal orang yang hidupnya sarat dengan dosa dan bagaimana mati yang mereka lalui. Ada yang bertahun lamanya menanggung azab, ada yang langsung tak diterima bumi dan macam-macam lagi. Memikirkan semua ini, aku tambah takut Ki. Aku takut! Banyak dosa aku Ki. Banyak sungguh!

Menitis air mata Saki mengenangkan dosa-dosanya yang lampau. Sesak Baki melihat sedu-sedan Saki. Goncangan badan Saki makin kuat. Satu persatu bayangan kisah hidupnya yang hitam hadir silih berganti diselang-seli balasan siksa sakarat seperti yang dia lihat di kaca televisyen.

Baki : (Tersenyum). Saki sahabatku. Syukurlah kau sedar dari dosa-dosa kau yang lampau. Jangan kau lekas menghukum ALLAH sekeras itu untuk menerima sesalan kau ini. Tetapi, ada syaratnya untuk DIA menerima sesalan kau Saki. Jika tidak cukup syarat-syaratnya, bukan sahaja sesalan kau ini sia-sia, bahkan kau akan lebih jauh sesat dari sekarang.

Saki mengangkat mukanya dari tekupan tangan. Rembesan air mata tetap mengalir tumpah dari tubir mata yang sarat kolamnya. Tampak merah bola mata Saki. Hidung berair turut menghujani sejuta sesal.

Saki : Ya kah Ki? Ceritalah Ki. Aku hendak dengar. Aku hendak segera bertemu ALLAH memohon ampun, tapi aku takut, aku tidak tahu caranya. Kalau semua salah aku pada orang lain, aku sanggup tebalkan muka melutut pada orang itu. Tapi ni bukan orang Ki. Ni Tuhan aku Ki. Banyak yang aku dah langgar. Banyak yang aku ingkar. Apa cara aku kena buat Ki nak raih ampunan DIA Ki? Aku sanggup buat selagi aku belum katup mata Ki. Cepat Ki, aku tak tertanggung rasa takut Ki.

Baki : TAUBAT.

Baiklah, apa itu taubat? Menurut Kamus Dewan Edisi Empat menyatakan taubat sebagai sesal akan dosa (perbuatan jahat dll) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

Para Ulama’ menggariskan panduan untuk bertaubat iaitu kepada tiga cara sekiranya taubat itu hanya bersangkutan dengan ALLAH S.W.T. Ia adalah sebagaimana yang berikut :

1. Berhenti melakukan perbuatan berdosa itu.

2. Menyesal atas perbuatannya.

3. Tetap hati untuk tidak melakukan perbuatan yang berdosa itu selama-lamanya.

Tetap hati yang dimaksudkan adalah berazam untuk tidak melakukan perbuatan berdosa tersebut sampai bila-bila. Ia menunjukkan penyesalan yang bersungguh-sungguh atas dosa-dosa yang lampau. Cukup turutan tiga langkah taubat ini, barulah ia akan diterima ALLAH S.W.T. Namun, andai kata salah satu daripadanya tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak akan diterima. Ia berdasarkan firman ALLAH S.W.T. di dalam dalil yang bermaksud :

“Mohon ampunlah kamu sekalian kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya” (Surah Huud 11 : 3)

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH dengan sebenar-benar taubat” (Surah At-Tahrim 66 : 8)

Ini sekiranya dosa yang dilakukan hanya bersangkutan dengan ALLAH S.W.T. Sekiranya ia melibatkan manusia, cara taubatnya adalah seperti tiga langkah yang di atas dan ditambah satu syarat tambahan iaitu memohon maaf dan melangsaikannya dengan individu yang telah kita berbuat salah tersebut. Jika berkaitan dengan harta, maka perlu dikembalikan, soal makan minum dimohon halal dan diganti sekiranya diminta manakala soal sumpah atau telahan negatif perlu dipohon maaf orang tersebut.

Dan bagi yang mengalami kisah hidup seperti Saki di dalam kisah yang saya nyatakan di atas, janganlah takut atau segan memohon keampunan ALLAH S.W.T. Tahukah kita, ALLAH sangat gembira untuk menerima taubat hamba-Nya yang memohon keampunan-Nya? Dan tahukah kita perumpaan kegembiraan ALLAH S.W.T. ini lebih hebat dari girangnya hati kita yang kehilangan sesuatu yang kita sayang dan kemudian kita menemukan kembali barang yang kita hilang itu sedangkan kita sudah putus asa mencarinya dek kerana hilangnya barang tersebut di kawasan yang lazimnya tipis harapan memperolehi barang yang hilang itu kembali? Buktinya adalah berdasarkan maksud hadis di bawah ini :

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Al-Anshary pembantu Rasulullah S.A.W. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hamba-Nya, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang sahara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Di dalam riwayat Muslim dikatakan : Sungguh ALLAH lebih gembira untuk menerima taubat hamba-Nya dikala hamba itu bertaubat kepada-Nya melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderainya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menemukannya kembali; ia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk menemukan kembali haiwan yang dikenderainya itu, kemudian ketika ia bangkit tiba-tiba dia telah menemukan kembali haiwan yang dikenderainya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya kemudian ia segera memegang tali kekangnya seraya berkata kerana sangat gembiranya: ‘Wahai ALLAH, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu.” Ia keliru mengucapkan kalimat itu kerana sangat gembira.

Walaubagaimanapun, untuk melakukan taubat, ia mempunyai tempohnya. Iaitu selagi belum kiamat dan selaginya nyawa belum sampai ke ghargarah (kerongkong). Ia berdasarkan maksud dua buah hadis yang berikut :

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat (sebelum kiamat~sebelum datang ajal) maka ALLAH menerima taubatnya.” (Riwayat Muslim)

Dari Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin ‘Umar bin Khaththab r.a. dari Nabi S.A.W., Baginda bersabda : “Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di tenggorokan (sebelum ia sakarat~mabuk menghadapi mati).” (Riwayat At-Turmudzy)

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan bertaubat dan jangan takut atau malu untuk BERTAUBAT, bukan BERTAU BUAT! Renung-renungkan dan selamat bertaubat :-)

Sabtu, 2 Julai 2011

Tazkirah #64 Mimpi Buruk


ZZZZZZ. Arghhhhh... Oh, bermimpi rupanya. Huh, penat sungguh lari tadi. Gila punya anjing. Tak pasal2 dia kejar. Aku tak buat apa pun! Nasib baik mimpi.

Ini contoh bila kita tersedar dari mimpi2 yang tak berapa enak. Orang tua2 dulu kata 'ni mesti tidur tak basuh kaki'. Jangan salah faham. Itu hanyalah kiasan orang tua2 dulu yang kaya dengan kata2 yang berlapik. Mereka ingin mendisiplinkan anak2 mereka. Sebagai contoh dalam situasi kiasan ini, mereka ingin dalam keadaan yang bersih, tidur pun mestilah bersih bagi mengelakkan penyakit yang datang dari bakteria-bakteria yang melekat di kaki sebelum kita ke tempat beradu. Maklumlah, bila dah tidur mana nak rasa apa, kadang2 kaki masuk mulut pun kita tak sedar. Tu tak kira tangan pulak merayap tak ketahuan hala.

Baik, kembali kepada topik kita iaitu mimpi yang tak best. Saya juga pernah mengalaminya. Kadang2 meremang jugak. Apa2pun, itu semua adalah gangguan syaitan yang selalu kalangan kita sebut mainan tidur. Ini adalah berdasarkan maksud hadis Rasulullah S.A.W. yang berikut:

"Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a. bahawasanya dia mendengar Nabi S.A.W. bersabda : Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bermimpi dengan impian (mimpi) yang disukainya maka sesungguhnya impian itu dari ALLAH Ta'ala. Oleh kerana itu, hendaklah dia memuji kepada ALLAH dan menceritakan kepada orang lain. Dalam riwayat lain dikatakan : janganlah dia menceritakan impian itu kecuali kepada orang yang disukainya. Dan apabila dia bermimpi dengan impian yang tidak disukainya maka sesungguhnya impian itu dari syaitan maka berlindung dirilah dari kejelekan impiannya dan janganlah ia menceritakan impian kepada siapapun juga kerana impian itu tidak akan membahayakan dirinya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi jelas berdasarkan maksud hadis ini ianya hanyalah gangguan dari syaitan.

NAMUN, BAGAIMANA KITA MENGHADAPI MASALAH MIMPI SEPERTI IN?

Maksud hadis yang seterusnya menjawab persoalan di atas :

"Dari Abu Qatadah r.a. berkata Rasulullah S.A.W. bersabda: Impian (mimpi) yang bagus ---dalam riwayat yang lain dikatakan; impian yang baik --- itu dari ALLAH, dan impian yang jelek itu dari syaitan. Oleh kerana itu, siapa yang mimpi sesuatu yang tidak disenanginya maka hendaklah dia bertiup ke sebelah kiri tiga kali, dan hendaklah dia berlindung diri dari syaitan (membawa ta'awuz ~ A'uzubillahi minassyaitanir rajim). Sesungguhnya impian itu tidak akan membahayakan dirinya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain pula menyatakan meludah~isyarat meludah (khabar dari guru saya) ke kiri sebanyak tiga kali dan berta'awuz. Ia berdasarkan maksud hadis yang berikut :

"Dari Jabir r.a. dari Rasulullah S.A.W., Baginda bersabda : Apabila salah seorang di antara kamu sekalian itu bermimpi dengan sesuatu yang tidak disenanginya maka hendaklah dia meludah ke sebelah kiri tiga kali, dan hendaklah dia berlindung diri kepada ALLAH dari gangguan syaitan (membaca ta'awuz) tiga kali, serta hendaklah ia berbalik dari tidurnya yang semula."
(Riwayat Muslim)

Nah, jelas sekali penerangan Rasulullah S.A.W. dan saya simpulkan sebagaimana di bawah cara2 menghadapi mimpi yang tidak menyenangkan :

1. Meniup/ meludah (isyarat) ke sebelah kiri sebanyak tiga kali.
2. Berta'awuz (membaca ) sebanyak tiga kali.
3. Jika Subuh lambat lagi masuk, sambunglah kembali tidur anda yang terganggu.

TAPI INGAT, kalau tidur tu waktu siang, tak payah sambunglah, sebab tak elok tidur time siang melainkan tidur sunat sebelum masuk waktu Zohor. Itupun tengok dulu Fiqh Aulawiyyatnya (keutamaan atau prioriti), misalnya waktu sebelum tu ada kuliah ka, kelas ka, kerja penting tak pun tengah memandu ka, tak payah la tidur, maka KEUTAMAANNYA adalah terhadap kerja yang sedang kita lakukan pada masa itu.

Sekian sahaj buat kali ini, renung2kan, selamat beramal :)
 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template