Rabu, 9 Jun 2010

Tazkirah #10 Kisah lagi disambung.

"Wasiat Nabi Muhammad S.A.W. kepada Saidina Ali r.a. ;" ditelan sedikir air liurnya sementara menyambung tazkirahnya. Santun dan sopan pekertinya.
Biarpun gelarannya amat dikenali dengan kata 'guru', namun perwatakannya menuntut yang tua darinya tunduk hormat semahunya. Dialah Cikgu Khali. Aku kagum dengan dia. Seminggu sekali telah menjadi rutin baginya menyampaikan tazkirah sementara menunggu jengahnya waktu solat fardhu Isya'. Terkadang aku terfikir,apa kekuatan yang berpaksi dalam diri guruku ini, pagi ke sekolah, malamnya acapkali menziarah rumah-rumah Allah, bukan sahaja untuk berjamaah menunaikan kewajipan, bahkan jauh dari itu, masih menyampaikan ilmu, ilmu yang bukan jurusannya!
Namun, apa yang nak dihairankan, bumi Sabah yang dulu yang menjadi tempat bermastautinnya selama 5 tahun, menuntut dia menjangkau keluar dari bidangnya. Mujur sedari kecil, dia anak Imam. Aku jelas semua itu, dari mulutnya juga yang menyelitkan sejarahnya buat penguat kami anak-anak didiknya, katanya, "Kalau cikgu boleh jadi seperti yang kamu lihat sekarang, kamu juga boleh. Cikgu anak papa kedana, lebih teruk dari kamu."Memang, kami juga orang susah, namun sejarah cikgu lebih teruk gambarannya dari kami, kami akur, tunduk bersyukur ke Hadrat-Nya kerana perit hidup ini masih mampu kami harungi. Seketika, terbit azam jauh di sudut benak hatiku untuk pecahkan apa yang Cikgu Khali pecahkan, bahkan lebih dahsyat ingin ku sebar retakan sebelum pecah!
Ah, jauhnya lamunanku. Mujur lama juga jeda Cikgu Khali. Macam tahu-tahu saja ingin beri ruang masa untuk aku menerawang enta ke mana. Senyumku sendiri dengan monologku.
"Wasiat-wasiat itu adalah..." sambung Cikgu Khali lagi, "Wahai Ali, bagi orang MUKMIN ada 3 tanda-tandanya. Pertama, tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia, kedua, tidak terpesona dengan pujuk rayu. Manakala ketiga, benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia. Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda-tandanya iaitu, jujur dalam berkata-kata, menjauhi segala yg haram dan merendahkan diri. Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya: merahsiakan ibadahnya, merahsiakan sedekahnya, merahsiakan ujian yg menimpanya. Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya: takut berlaku dusta dan keji, menjauhi kejahatan serta memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.
Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya: mengawasi dirinya, menghisab dirinya dan memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t. "
Pakcik-pakcik terangguk-angguk, faham agaknya. Hairan juga, tiap kali tazkirah Cikgu Khali, semua terbuntang mata, sedang dia ber'title'kan 'cikgu', tetapi, bila masa yang bercakap di depan itu ustaz-ustaz, hampir kesemuanya bagi ayam patuk padi. Yang tinggal cuma si ustaz dan sepi.
Ah, persetankan monologku. Acapkali dia seakan menjadi syaitan merasukku dari mendengar tazkirah di depan. Ada saja senjata gincunya yang tak pernah habis disapu pada mulut hatiku untuk menjadi teman berbual dengan hati kecilku. Ya Allah, hamba mu ini berlindung dengan-Mu Yang Maha Mendengar Dan Maha Mengetahui dari si penderhaka terlaknat dan kuncu-kuncunya. Ameen.


Tiada ulasan:

 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template