Rabu, 15 Jun 2011

Tazkirah #61 Malu

Adakah anda memiliki sifat keMALU-MALUan (jangan fikir yang bukan2). Malu atau nama yang lain segan(segan di Perlis = Malas), aib, silu, bera, canggung, janggal, segok, meleng, kanyor, wirang adalah penting dalam diri setiap insan. Tanpa malu, orang tidak akan segan2 mendedahkan apa sahaja samada yang peribadi atau tidak, singkap yang tersurat atau tersirat, dedah zahir atau batin, tak kiralah tentang diri sendiri atau orang lain.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah : Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka (Riwayat Bukhori)

Jelaskan? Malu itu perisai diri yang penting dari menggelincirkan kita ke jalan yang tidak diredhai. Sifat malu ini lahir dari pemikiran rasional yang asasnya lahir dari fitrah manusia normal yang sentiasa inginkan pandangan positif orang lain padanya seterusnya pertimbangan akal dalam mengawal nafsu. Sekiranya proses ini berlangsung dengan baik dan pertimbangan itu dimenangi akal, maka malu itu akan tampak pada diri seseorang individu tersebut. Cuba kita lihat orang yang ALLAH S.W.T. tarik nikmat akal, senang cerita 'orang gila'. Orang gila tidak akan berasa malu untuk mendedahkan apa sahaja kerana akalnya tidak lagi berfungsi mengawal dirinya berkelakuan selayak insan normal sekaligus tidak menampakkan ciri2 malu dalam dirinya dan orang lain tidak akan berasa janggal dengan keterampilan orang gila kerana sudah masak benar dengan situasi yang dihadapinya.

Baik, mari sama-sama kita beberapa contoh malu yang saya sediakan di bawah, dan kita banding bezakan dengan keberadaan kita sekarang :

Malu Hendak Berbuat Jahat
Memang kita sedia maklum, Allah S.W.T. telah programkan dalam diri kita yang normal ini untuk malu melakukan sebarang kejahatan yang nampak di mata khalayak umum bahkan ketika bersendirian. Kita semak balik diri kita, jika pernah kita lakukan sesuatu yang jahat, seperti mendedahkan aib orang lain, maka sifat malu itu sudah luntur dari pakaian kita. Sekiranya ini berlaku, lekas2lah istighfar dan perbetulkan kembali kesalahan yang telah kita lakukan. Itu sebagai contoh, beribu lagi contoh lain bagi kejahatan yang pernah kita lakukan.

Malu Berbuat Sesuatu yang Tidak Senonoh
Walaupun kita tidak alim, namun kita yang normal masih rasa segan untuk berkelakuan tidak senonoh. Sebagai contoh, kita saruk kain, jalan tengah ramai, tiba2 angin baik punya mai sergah kain kita, nah, tersingkap segala yang tertutup asalnya. Kita pasti akan termonyeh-monyeh malu, merah muka, lagi teruk, maki hamun pula angin yang datang. Itu tandanya masih ada sifat malu dalam diri kita. Itu baru sikit, kalau bercomolot (pinjam ayat orang muda la ni) tengah ramai, simpangggggg. Tetapi, ada juga antara kita rela pakai baju adik, keluar rumah ukur jalan sambil berkepit dengan marka entah dari mana, tanpa segan silu. Betul atau tidak? Tepuk dada tanya mata, sebab mata yang tengok, tepuk kaki kalau tu kaki kita, tepuk tangan kalau tu tangan kita yang berkepit. Tandanya, luntur lagilah malu dari diri kita.

Malu Berbuat Baik
Ini merupakan malu yang jauh menyimpang dari konsep asal. Sepatutnya malu ini tidak boleh ada dalam diri kita. Nasihat Luqman kepada anak-anaknya telah ALLAH S.W.T. rakamkan di dalam al-Quran sebagaimana berikut :
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya."(Q.S. 31 : 17)

Malu Sampai Sesat
Kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan. Malulah nak pi masjid, tak pernah2 pi tiba2 nak pi. Malu la nak tanya soalan tu kat ustaz, kang dia kata soalan mudah. Malu la itu malu la ini. Bab nak perbetulkan diri atau menyelesaikan kekusutan, kita tidak boleh terus-terusan melayan rasa malu yang menyekang dada kita untuk kusut dengan saratan masalah. Bukakanlah minda kita buangkan rasa malu. Sebagai contoh, "malu la nak tanya pasal niat solat". Sedangkan niat itu utama bagi sesuatu solat dan yang terawal untuk mengerjakan solat. Disebabkan malu untuk bertanya, tidak tahu maksud dan cara niat, langsung solat itu diabai. Ini suatu contoh mudah, banyak lagi contoh lain yang kita sendiri tahu tentang malu untuk bertanya. Lainlah kalau niat bertanya itu untuk menjatuhkan seseorang sedangkan kita sudah tahu jawapannya, seharusnya ia dielakkan.

Renung2kan, Selamat Memakai Sifat Malu Sebaiknya, kerana MALU ITU PAKAIAN IMAN. Compang-camping baju, ternampaklah jasad, kuranglah perlindungan bagi iman :)
وعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً, وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِن الْإِيمَانِ
Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. Daripada Nabi S.A.W. bersabda, : Iman terdiri
daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu
dari bahagian-bahagian iman.

3 ulasan:

SiS NaD berkata...

Salam...

Malu samapi sesat ye... Hehe!~ Pepatah orang tua2, "Malau bertanya sesat jalan"... (^_____^)V

Tanpa Nama berkata...

ada perkara perlu malu dan tak perlu malu kn..=)

neway thanks ya sbb follow my blog..blog ni sy dh msukkan di ruangan followers 3 di blog sy..=)

CECOMEL berkata...

Sis Nad : Ya. Setuju yang amat :)
Faiz : Terima Kasih :)

 

Wat Kautri?

free counters

C.A. Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template